Sunday, June 21, 2009

BEIJING (JUN 2009)

Saya sepatutnya telah sampai di Beijing pada Mac 2008. Namun atas sesuatu sebab yang tak dapat di elakkan, perkara tersebut tidak menjadi. Itulah yang selalu saya perkatakan "KITA HANYA MERANCANG". Bagaimanapun Alhamdulillah hajat tersebut tercapai jua pada 7-12hb Jun 2009 yang lalu.
Sudah semestinyalah destinasi terpenting jika ke Beijing adalah TEMBOK BESAR. Panjang keseluruhannya adalah 6,000km panjang. Mula dibina semasa pemerintahan Maharaja Shih Huang Ti. Saya masih ingat nama mahsyur tersebut ketika belajar sejarah semasa di sekolah menengah dan ianya dikuatkan lagi ingatan tu apabila pemandu pelancong Philip berulang-ulang kali menyebut nama itu.
Saya dan keluarga agak bernasib baik kerana cuaca pada masa itu cerah dan terang, kerana gambar-gambar yang saya lihat dari kawan-kawan, langit Beijing biasanya berjerubu. Mungkin disebabkan sehari sebelum saya datang ke tembok besar, hujan telah turun dengan lebatnya seharian, yang mungkin telah menghilangkan jerubu di Beijing.
Saya juga sempat dan berpeluang bersembahyang zohor di Masjid Niu Jie iaitu sebuah masjid lama yang telah berusia lebih 1,000 tahun. Senibinanya merupakan senibina cina. Dan kalau bangunan ini ditempatkan di Malaysia sudah pastilah ianya merupakan sebuah Tokong Cina. Dan begitulah indahnya Islam ini, Adat dan Budaya bukanlah merupakan penghalang bagi penganutnya untuk beribadah. Saya juga pernah memaparkan kisah gereja yang dijadikan masjid di Dublin, Ireland.
Berbeza dengan Masjid lama Niu Jie, Masjid Baru di Tianjin berkonsepkan rekabentuk senibina moden. Macam kebanyakan masjid di Malaysia malahan di seluruh dunia. Yang istemewanya sudah banyak perkataan-perkataan bahasa melayu di masjid-masjid di Beijing seperti perkataan "BILIK WUDUK, TABUNG SUMBANGAN" dan lain-lain. Mungkin kerana semakin ramai pelancong dari Malaysia sering datang ke China terutama Beijing. Mana tidaknya kalau semasa makan di restoran-restoran halal di Beijing samada makan tengahari atau makan malam, pasti kita akan berjumpa dengan orang-orang Melayu Malaysia yang makan di restoran yang sama. Faktor lain mungkin juga disebabkan semasa lawatan saya dan keluarga adalah semasa musim cuti sekolah. Sebut sajalah tempat-tempat di sekitar Beijing, Tembok Besar, Summer Palace, Medan Tiananmen, Forbiden City, pasti kita akan berjumpa dengan orang Melayu Malaysia.
Saya agak kurang bernasib baik semasa melawat Medan Tiananmen dan Forbiden City kerana hujan turun seharian dengan lebatnya. Medan Tiananmen adalah merupakan dataran di dalam bandar yang paling besar di dunia. Namun seperti yang saya nyatakan tadi, hujan pun ada rahmatnya, kerana keesokannya pemandangan di Beijing amat cerah sekali, menghapuskan jerebu yang biasanya adalah merupakan keadaan biasa di Beijing.
Summer Palace atau Istana Musim Panas adalah merupakan tempat istirehat Maharaja dahulu kala di musim panas. Tasik Buatannya merangkumi lebih 3 suku kawasan Istana yang berkeluasan lebih 200 hektar itu. Semasa musim panas air tasik dan angin dapat menyejukkan kawasan sekitar istana. Manakala pada musim sejuk air tasik ini akan menjadi beku dan kita boleh berjalan kaki di atasnya. "Oh! kena datang lagilah ni, musim sejuk pulak, nak tengok tasik beku dan nak berjalan kaki di atasnya." kata isteri kepada saya. Saya buat-buat macam tak dengar dan hanya tersenyum tapi kelihatan sedikit tawar.
Sarang Burung juga merupakan antara tempat tumpuan pelancong. Stadium yang boleh menampong 80,000 orang ini agak unik dan merupakan antara simbol kemegahan rakyat China semasa Sukan Olimpik 2008. Di Stadium ini dijalankan acara-acara sukan utama seperti bola sepak, olahraga dan majlis perasmian serta upacara penutup.
Sebuah lagi stadium sukan yang agak aneh dipanggil "WATER CUBE". Kedudukkannya bersebelahan dengan Stadium Sarang Burung dan digunakan untuk acara yang bersesuaian dengan namanya iaitu acara renang dan sukan air. Saya memang tersangat ingin melihat stadium ini dengan mata kepala sendiri kerana 3-4 tahun yang lalu saya telah menghadiri satu seminar yang di sampaikan sendiri oleh Sang Arkiteknya seorang rakyat Cina. Konsepnya memang tepat. Lihatlah rekabentuk dindingnya yang menyerupai buih-buih dan berbentuk empat segi.
Saya dan dua anak lelaki saya, Haziq dan Qayyiem telah datang semula pada sebelah malamnya untuk melihat kehebatan stadium-stadium ini pada waktu malam. Wow! pasti ianya lebih menarik, warna biru yang menggambarkan warna air. Agak malang saya hanya dapat merakamkan keindahannya dalam masa 20 minit sahaja, sebelum lampunya dipadamkan pada jam 10 malam. Tak dapat saya nak "explore" lebih lagi.
Ini adalah merupakan hotel termahal di Beijing pada masa ini. Terletak berdekatan dengan Stadium Bird Nest dan Water Cube, hanya 5-7 minit berjalan kaki. Bill Gate dan "RICH AND FAMOUS" yang lain menginap di hotel ini semasa berlangsung nya Sukan Olimpik Beijing 2008.
Banyak tafsiran yang di buat mengenai bangunan hotel ini, ada yang kata macam kepala ular, ada kata kepala keris, ada kata macam muncung burung kerana berdekatan Stadium Sarang Burung dan entah macam-macam lagi tafsiran. Terpulanglah pada masing-masing mentafsirkannya.
Satu lagi impian saya juga telah tercapai semasa melancong ke Beijing tempoh hari. Iaitu untuk merasai menaiki keretapi laju BULLET TRAIN. Saya berkesempatan menaiki keretapi ini dari Tianjin ke Beijing sejauh 150km dalam tempoh 1/2 jam sahaja. Kelajuan tertinggi yang di capai pada masa itu adalah 326km sejam. Walaupun saya tahu keretapi terlaju masa kini telah mencapai lebih 500km sejam, namun pengalaman menaiki keretapi di Beijing sudah memadai dan sungguh teruja.
Saya dan keluarga selamat mendarat di KLIA pada 12hb Jun 2009 jam 10.40 malam. Alhamdulillah saya bersyukur semuanya selamat dan sihat, terutama semasa saya di Beijing itu, wabak H1N1 sedang menular dengan pantas dan amat mengerikan. Semasa kami sampai di Beijing pun kami di arahkan memakai topeng muka dan setelah pulang ada anggota rombongan kami yang diberi rawatan rapi kerana demam. Namun tak ada kes jangkitan H1N1 yang di kesan.
Akhir kata, apakah ungkapan isteri"Oh! kena datang lagilah ni, musim sejuk pulak, nak tengok tasik beku dan nak berjalan kaki di atasnya." benar-benar menjadi kenyataan atau hanya tinggal sebutan. Sama-samalah kita tengok nanti, manalah tahu kalau-kalau ada rezeki lebeh kami akan datang semula ke Beijing nanti.

Wednesday, May 20, 2009

SELAMAT HARI BAPA???????(MEI 2009)

Kalau 10 Mei setiap tahun, adalah hari kita meraikan HARI IBU, maka tanggal 20 Mei pula adalah hari kita meraikan HARI BAPA. Eh! betul kah begitu? Oh tidak. Bukan. Tapi bagi diri saya tanggal 20 Mei adalah hari yang cukup bermakna. Ianya berkaitan dengan bapa saya. Tahun ini tanggal 20 Mei 2009 adalah hari genapnya 2 tahun AYAHANDA saya pergi buat selama-lamanya (20 Mei 2007).
Inilah pusara Ayahanda yang terletak di tanah perkuburan Batu 11, Cheras Kuala Lumpur. Jika ada kelapangan, InsyaAllah saya akan berkunjung ke sana. Biasanya jika saya mempunyai urusan di Putrajaya atau di Kajang, pasti saya akan singgah ke sana untuk melepaskan rindu.
Tiada binaan untuk pusara Ayahanda, hanya tumbuhan rumput karpet dan beberapa batang pokok rendah menghiasi pusaranya.
Saya pernah terbaca pendapat yang menyatakan bahawa, adalah di larang untuk membina binaan di atas kubur. Ada juga pendapat yang membenarkan binaan, tetapi tidak boleh terlalu besar. Kalau kita menziarahi ke Tanah Perkuburan BAQI' di Madinah, kita akan dapati kubur-kubur para sahabat yang berjumlah 10,000 orang itu hanya di tanda dengan 2 ketul batu sahaja, 1 di bahagian kepala dan 1 lagi di bahagian kaki. Saya juga pernah membaca sebuah hadis Nabi mengenai Nabi pernah memacakkan 2 pelepah kurma pada 2 buah kubur yang penghuninya sedang disiksa. Dan sabda Nabi, pelepah-pelepah tersebut akan berzikir sehingga ianya kering. Ada yang berpendapat bahawa ada baiknya menanam pokok di atas kubur, agar daun-daun pokok tersebut berzikir dan mendoakan si mati. Ada juga yang berpendapat kisah tadi hanya untuk Nabi sahaja kerana Nabi mempunyai Mukjizat dan perkara ini tidak untuk kita. Melalui pendapat-pendapat ini terserahlah kepada pembaca-pembaca sekelian untuk menkaji dan mendapatkan pandangan ustaz-ustaz serta cerdik pandai dalam bidang agama. Bagi saya, saya juga masih mencari kesahihan perkara-perkara ini. Akhir sekali, saya mendoakan agar Ayahanda saya hidup bahagia di Alam Barzakh dan di golongkan bersama golongan orang-orang yang soleh. Amin. Al-Fatihah.


Wednesday, May 6, 2009

SELAMAT HARI IBU (MEI 2009)

Tanggal 10 mei tahun ini, adalah kali pertama saya menyambut hari ibu dengan ketiadaan ibu. Memang masih terasa kerinduan kepadanya walaupun dia telah pergi lebeh 7 bulan yang lalu. Rasanya macam masih ada, tapi hakikatnya memang dia telah pergi buat selama-lamanya. Saya amat rindu dengan masakannya seperti makanan kegemaran saya cucur udang (ala-kelakate), masak cabai ikan selangat(ikan ditarik untuk kurangkan tulang), pengat pisang (lebih mahsyur dengan nama kueh tok aki) dll. Tiada siapa yang dapat menafikan makanan yang paling kita gemari adalah masakan dari air tangan ibu sendiri.
Inilah gambar ibu malam terakhir di rumah saya, lebeh kurang 40 hari sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Saya masih ingat, pada malam itu beliau amat gembira dan memang berhasrat untuk datang lagi. Selepas itu beliau pulang ke Taiping. Kini semua telah tiada.
Kepada mereka-mereka yang masih mempunyai ibu, selalulah pulang ke kampong untuk menziarahi mereka. Masa inilah peluang bagi kita untuk menikmati masakan ibu kegemaran kita. Selain daripada melepaskan kerinduan kita kepadanya. Atau kalau tidak pun selalu lah hubungi (telefon) mereka. Bagi saya semua itu telah tiada.
Moga-moga sempena hari ibu ini, saya berdoa agar roh ibu di tempatkan bersama-sama orang yang soleh. Amin. AL-FATIHAH.

HIMPUNAN HARIMAU TUA (MEI 2009)

Memang setiap sabtu pertama bulan mei setiap tahun, akan di adakan himpunan murid-murid tua bagi bekas pelajar-pelajar asrama SMK King Edward VII, Taiping. Sabtu kali ini jatuh pada tarikh 2 hb Mei 2009 dan 1 hb (hari buruh) jatuh pada hari Jumaat. Maka panjang lah sikit cuti tu, 3 hari. Seramai 40-50 orang bekas pelajar telah hadir untuk memeriahkan himpunan tersebut. Buat diri saya kehadiran ini adalah kali kedua selepas hadir pada 5-6 tahun yang lalu. Tetamu istemewa yang hadir adalah Cikgu Harun, guru asrama semasa saya menghuni di asrama tersebut dari tahun 1974 hingga 1979.

Gambar atas- bergambar beramai-ramai selepas majlis makan malam. Saya berdri 3 dari kiri berbaju merah berkolar hitam. Lambang sekolah adalah gambar seekor harimau. Bagi pelajar-pelajar masakini, mereka di gelar sempena nama lambang itu....harimau. Maka untuk bekas-bekas pelajar gelaran yang di beri tentulah HARIMAU TUA. Seronok juga dapat berjumpa kawan-kawan lama dan kisah-kisah lama di suburkan kembali. Ada kisah duka, ada kisah suka, ada kisah jenaka dan ada kisah syahdu. Semuanya di ulang tayang melalui gambaran minda masing-masing.

Atas, gambar saya bersama HARIMAU TUA Wan Baharin, bekas pemain rugbi sekolah yang merangkul juara seluruh Malaysia pada tahun 1978 dan 1979. Pada tahun-tahun tersebut KE VII memang hebat, MCKK, STAR, SDAR, RMC dll tiada tandingan nya. Selepas kumpulan kami itu, prestasi KE makin merosot dan hingga kini zaman kegemilangan itu belum dapat di tebus. Wan Baharin kini merupakan tuan punya syarikat kereta Perodua di Kuala Kangsar.

Berbaju oren adalah HARIMAU TUA Mat Zubaini dan berbaju biru adalah HARIMAU TUA Awang Mansur. Zubaini kini merupakan Pengurus Cawangan Public Bank di Pantai Remis, Perak sementara Awang merupakan guru bahasa Inggeris di Selama, Perak. Dahulunya Awang memang terkenal kerana mahir bermain alat muzik seperti gitar dan biola. Pada zaman tersebut, kumpulan Deep Purple merupakan antara kumpulan favourite hinggakan Cikgu Harun pun di gelar dengan nama JOHN LORD sempena nama pemain drum kumpulan itu. Antara sebab musababnya juga kerana misai tebal Cikgu Harun tu saling tak tumpah macam misai John Lord.

Dari kiri- YB(B) HARIMAU TUA Muhaimin, HARIMAU TUA Yusuf Mat Arip dan HARIMAU TUA Raja Omar. Muhaimin adalah bekas ADUN UMNO Gunung Semanggol,Perak pada penggal 2004-2008. Pilihanraya mac 2008 lalu beliau kalah pada calon PAS. Yusuf dan Raja Omar juga adalah bekas pemain rugbi juara Malaysia tahun 1978 dan 1979.

Dari kiri- Gambar-gambar HARIMAU TUA Yusuf, HARIMAU TUA Razali, HARIMAU TUA Muhaimin, HARIMAU TUA Nazri (saya lah tu), HARIMAU TUA Jalil dan HARIMAU TUA Wan Baharin. Jalil dan Razali adalah senior 2 tahun. Razali kini bekerja di pejabat Imigrisen KLIA sementara Jalil di Maybank Shah Alam. Jalil juga merupakan pemain rugbi juara Malaysia tahun 1978 dan 1979. Masa tu beliau di tingkatan 6 rendah dan atas, sementara saya di tingkatan 4 dan 5.

Gambar bawah- Saya bersama HARIMAU TUA Zulazlan, yang kini bekerja di SUK Perak, Ipoh. Memang kami tak pernah berjumpa 30 tahun yang lalu iaitu semenjak tahun 1979 selepas keluar sekolah tingkatan 5.

Bagi kawan-kawan yang membaca blog ini, janganlah marah apabila saya menggelar kita ni HARIMAU TUA. Yang sebenar gelaran kita adalah OLD EDWARDIAN. Saja-saja saya nak sensasikan atikel di blog saya ini.
Dalam tempoh berbual-bual itu tersebut jugalah mereka-mereka yang telah pergi buat selama-lamanya seperti Rahman Musa, Ghazali Nordin, Lope Ahmad. Ada juga yang sedang sakit seperti Prof Dr Aziz Chik (UTM Sekudai) dan Khairudin Bahazam. Aziz Chik mengidap Kanser paru-paru dan baru sahaja menjalani pembedahan membuang sebahagian paru-parunya dan kini masih di rawat di hospital Sultanah Aminah JB. Khairudin pula mengidap Parkinson dan kini tidak lagi dapat berjalan.
Di saat begini dan di usia begini barulah kita rasa bersyukur kerana masih di kurniakan Allah kesihatan yang baik dan umur yang panjang berbanding dengan mereka-mereka yang telah di nyatakan tadi. Kadang-kadang kita lupa itu semua nikmat yang masih Allah kurniakan pada kita dan kita harus beringat. Ingatlah pesan Nabi, agar kita beringat dalam 5 perkara sebelum datang 5 perkara. Antaranya beringat ketika sihat sebelum datang sakit. InsyaAllah.....

Tuesday, April 28, 2009

UMRAH dan ANDAK (APRIL 2009)


Kunjungan ke tanah suci kali ini dengan anggota yang lebih ramai dari yang termuda anak bongsu Darweesh, Nasreen, Qayyiem, Haziq, Azni (isteri), saya, mak mertua dan yang tertua bapa mertua. Anak-anak amat gembira kerana inilah kali pertama mereka menjejakkan kaki ke bumi suci ini.
Ini bukan gambar bapa mertua saya. Ini adalah seorang jemaah dari negara lain. Gaya pakaian mungkin dari Pakistan atau India. Di sini semua kita bersaudara, tanpa mengira asal keturunan, warna kulit, bangsa, bahasa, pangkat dan kedudukkan. Di sisi Allah yang penting adalah TAQWA.
Bukit Uhud telah menyaksikan tumbangnya para-para syuhada' 1,400 tahun yang lalu akibat kedegilan manusia menuruti perintah Nabi. Di katakan bahawa Nabi Musa A.S. juga pernah datang melawat Bukit Uhud ini ketika zamannya kerana di dalam kitab Taurat telah pun menceritakan tentang peperangan yang mahsyur ini. Juga dikatakan bahawa semasa Nabi hendak membawa pulang kesemua 70 orang para syuhada' ini untuk di kebumikan di Madinah, Bukit Uhud juga ingin mengikut mereka kembali ke Madinah. Itulah di antara sebabnya mengapa Nabi mengambil keputusan untuk mengabadikan semua syuhada' di sini sahaja. Seperti gambar, warna Bukit Uhud agak lebih merah dari bukit-bukit yang lain.
Berlatar belakangkan Masjid Qiblatain atau Masjid Dua Qiblat. Tempat ini mahsyur dengan perkenan Allah untuk Nabi menukar arah Qiblat dari menghadap ke Baitul Muqaddis di Palestin ke Baitullah di Mekah setelah Allah melihat Nabi asyik memohon doa bagi perubahan Qiblat itu.
Bersyukur ke hadrat Illahi dapat sekali lagi menjadi tetamunya. Seperti biasa di Mekah ini, walaupun keadaan Mekah yang berdebu dek runtuhan bangunan dan panas yang mencecah 38 darjah celcius, manusia tetap ramai seolah-olah musim haji. Kali ini jemaah dari Turki dan Iran lebih ketara daripada jemaah-jemaah yang lain. Sesuatu yang sangat kelainan umrah kali ini adalah, jemaah agak bebas mengambil gambar di dalam masjid. Mungkin pihak berkuasa pun sukar untuk mengawal, disebabkan kecanggihan teknologi kini yang mencipta hand phone berkamera.
Inilah kali pertama saya dapat berkunjung ke Masjid di Hudaibiah walaupun telah beberapa kali berkunjung ke Mekah. Itulah yang di katakan rezeki dan ketentuan Allah. Kita hanya merancang. Ada saja sebab dan rintangan seperti demamlah, sakitlah kalau Allah tidak benarkan. Barulah kali ini dapat gambaran suasana di Hudaibiah yang terkenal dengan kisah Perjanjian Hudaibiah dan Baiah itu. Terdapat sebuah tapak bangunan masjid lama yang tidak di jaga dan di biarkan begitu sahaja. Pada pengamatan saya, di lihat dari segi binaan dan bahan dindingnya yang masih tinggal bangunan ini telah di bina tidak kurang daripada 500 tahun yang lalu. Mungkin Kumpulan Warisan di Arab Saudi perlu mengkaji sekaligus memelihara binaan ini agar ianya tidak pupus dalam lipatan sejarah.
Allah Maha Besar dan seperti yang di katakan sebelum ini bahawa semua kejadian itu adalah ketentuan Allah semata-mata. Semasa di Mekah di hotel yang sama, saya diketemukan dengan seorang kawan sekolah menengah lama bernama Zubir bin Pandak Ibrahim. Kali terakhir kami bertemu ialah pada tahun 1984. Masa itu beliau bekerja di Bank Islam Jalan Raja Laut, KL dan saya bekerja di Ibu Pejabat JKR Jalan Salahuddin, KL belakang Bank Negara. Selepas itu kami putus hubungan. Kami hanya sempat bersama 2 hari sahaja kerana saya akan balik ke Malaysia, sementara beliau baru sampai dari Madinah. Selain daripada itu saya juga bertemu dengan seorang kenalan lama Arkitek dari Kedah bernama Zaidi di hotel yang sama. Juga di ketemukan dalam jemaah yang sama, kenalan lama Nazmi dan Sapian dari Perunding Jurutera Uniti berpejabat di Senawang Negeri Sembilan. Juga bersua seorang kenalan lama, Azman, Jurutera di Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD). Itulah dikatakan Dunia ini kecil dan ALLAH MAHA BESAR.

Pada hari ke5 kunjungan keseluruhan atau hari ke2 berada di Mekah iaitu pada tarikh 6hb April 2009, saya di kejutkan dengan berita sedih perginya buat selama-lamanya bonda saudara yang lebih mesra di panggil Andak Ton. Allahyarhamah meninggal dunia jam 10 malam waktu Malaysia atau 5 petang waktu Mekah di Hospital Besar Kuala Lumpur. Andak Ton adalah adik ke 5 bonda saya dari 9 orang adik-beradik. Tarikh kematiannya genap 1 bulan dari tarikh kematian Ayahngah yang meninggal dunia pada 6hb Mac 2009 yang lalu. Andak Ton telah menderita kanser paru-paru lebih 1 tahun yang lalu. Nama sebenarnya adalah Hjh Zaiton Mat Tahir. Suami Andak Ton, iaitu Allahyarham Pak Andak Ismail telah meninggal dunia pada 5hb Januari 2007. Saya sempat berdoa di depan Kaabah agar Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan semoga allahyarhamah di golongkan bersama orang-orang yang beriman. AMIN.

DOHA (APRIL 2009)


Perjalanan dari KLIA ke Doha, Qatar mengambil masa selama 6 jam 30 minit. Inilah kali pertama saya membawa ahli keluarga sebesar ini dan sejauh ini bersama isteri, 4 orang anak-anak, bapa dan ibu mertua. 8 orang semuanya termasuk saya. Tujuan utama adalah untuk menunaikan umrah dari 2-14 April 2009. Saya dan keluarga singgah di Doha selama 6 jam sebelum menyambung perjalanan ke Jeddah. Pihak Qatar Airway ada menyediakan sarapan pagi semasa tiba di Airport Doha. Anak-anak nampak gembira walaupun sebenarnya mereka letih, terutama si paling kecil Darweesh.

Tuesday, March 24, 2009

ROM, VATICAN CITY dan VENICE........ (MAC 2009)


Kali ini saya berpeluang mengunjungi sebuah lagi negara Eropah iaitu semenanjung Itali. Kunjungan dilakukan dari 17 mac hingga 21 mac 2009. Bandar Rom merupakan ibu negeri bagi Itali. Rom dipenuhi dengan bangunan-bangunan lama berumur ratusan tahun. Malahan ribuan tahun seperti binaan lama Coleseum iaitu lebih dua ribu tahun dahulu. Sesuatu yang baik tentang Rom adalah pihak berkuasanya pandai menghargai warisan sejarahnya walaupun binaan tersebut hanya tinggal sekeping dinding atau sebatang tiangnya sahaja. Berbeda dengan sikap kita di Malaysia di mana binaan-binaan lama tidak dihargai. Robohkan saja atas nama "PEMBANGUNAN".

Mungkin tidak ramai antara kita yang mengetahui bahawa di dalam bandar Rom itu sendiri terdapat sebuah negara kecil bernama Vatican City. Ianya bukan sekadar sebuah bandar tetapi adalah sebuah NEGARA. Di sinilah tinggalnya Ketua Paderi Terbesar Di Dunia iaitu POPE yang sekali gus merupakan ketua kerajaan yang menerajui Vatican City.

Dari Rom saya sempat terbang ke Venice. Penerbangan sejauh 700 km menagmbil masa selama 1 jam. Venice memang unik. Rasanya tiada bandar yang sama seumpamanya. Di Venice pergerakkan utama adalah berjalan kaki dan kenderaan yang dibenarkan hanyalah pengangkutan air sahaja. Kenderaan yang ada adalah teksi air(bot-bot kecil), bas air(bot-bot lebih besar) dan yang paling istemewa adalah GONDOLA iaitu perahu hitam yang digerakkan menggunakan tenaga manusia sahaja. Antara tempat menarik di Venice adalah Dataran Saint Marco terletak di hadapan Gereja Saint Marco. Selain daripada ramai pengunjung, dataran ini dimeriahkan dengan tumpuan burung-burung merpati yang sangat jinak dan peramah.
Agak mahal tambang yang dikenakan untuk menaiki gondola. Harga yang dikenakan adalah 100Euro atau RM480 sejam. Disebabkan tak mahu kecewa dan ralat jika balik ke Malaysia nanti, saya dan 3 lagi rakan pejamkan mata walaupun mengetahui poket kami semakin rabak demi atas nama kepuasan dan pengalaman sekali seumur hidup dan tak mungkin dapat dikecapi lagi di masa akan datang. Kami di bawa menyusuri di beberapa terusan kecil dan di celah-celah bangunan dan jambatan dengan di iringi nyanyian suara "MERDU" si pendayung gondola tadi. Ada juga gondola yang diiringi beberapa pemain alat muzik, yang pasti harganya sudah semestinya berlipat kali ganda. Sesekali gondola berkocak kuat dek berselisih dengan bot-bot yang berinjin yang menghasilkan ombak yang agak besar. Tiada life jacket disediakan, namun belum pernah terdengar apa-apa trajedi buruk berlaku di Venice. Saya pernah sampai di Venice TIMUR (Sungai Chao Praya di Bangkok) pada tahun 2003. Namun pengalaman di Venice SEBENAR lebih teruja.

Monday, March 9, 2009

AYAHNGAH...........(MAC 2009)

Genap 5 bulan 1 hari iaitu tanggal 6hb mac 2009 (jumaat) selepas pemergian bonda Zauyah (5hb okt 2009), ayahanda saudara Abdul Rahman bin Mat Tahir atau lebih dikenali dengan panggilan Ayahngah pula telah pergi buat selama-lamanya. Ayahngah adalah adik kedua Bonda. Ayahngah menghembuskan nafas yang terakhir pada jam 11 pagi di Hospital Taiping setelah dimasukkan ke wad selama 5 hari. Usia Ayahngah telah mencecah 74 tahun. Anak-anak Ayahngah sempat hadir pada masa pengkebumian, kecuali anak ketiganya Dr. Azlin iaitu pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak kerana ketiadaan tiket. Beliau tiba lewat malam manakala jenazah telah di semadikan di tanah perkuburan Kg. Jambu Taiping selepas solat Asar. Kubur ayahngah ditempatkan bersebelahan kubur Opah (Bonda Ayahngah), Tok Aki (Ayah Ayahngah) dan isteri pertamanya iaitu Makngah Ba. Semoga Allah mencucuri rohnya dan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh. Amin. Al-Fatihah.

Friday, January 2, 2009

BONDA......(OKTOBER 2008)

5 oktober 2008(ahad) bersamaan hariraya aidilfitri ke5, bonda tercinta Allahyarhamah Hjh. Zauyah bte Mat Tahir telah pulang ke rahmatullah di Hospital Ipoh jam 9 pagi. Jenazah Allahyarhamah telah selamat di semadikan di tanah perkuburan Kampong Rahmat Kemunting selepas Asar pada hari yang sama. Tarikh tersebut merupakan selang 1 tahun 4 bulan 15 hari Ayahanda Allahyarham Hj Mansur bin Ahmad pergi buat selama-lamanya iaitu pada 20 Mei 2007 (ahad) jam 10 pagi di Cheras Perdana KL. Jenazah Ayahanda telah di kebumikan di Tanah Perkuburan Cheras Batu 11 sebelum asar. Moga roh kedua-duanya ditempatkan Allah bersama orang-orang yang soleh dan solehah. AMIN. Gambar(atas) terakhir bonda di Hospital Ipoh telah diabadikan pada petang 4 okt 2008 oleh Anja dan Rizal.

PARIS, PERANCIS (JUN 2008)


Tidak sah jika sampai di Paris tidak berkunjung ke Eifel Tower.


Arch De Triumph adalah di antara tempat tumpuan para pelancong jika sampai ke kota Paris.


Bergambar di hadapan Museum De Louver. Piramid kaca ciptaan Arkitek I.M.Pei.(Chinese American). Di muzium inilah lukisan MONALISA di abadikan.

LONDON (FEB 2008)


Trafalgar Square dahulunya dimeriahkan dengan burung-burung berterbangan, kini tiada lagi semenjak larangan pemberian makanan di kuat kuasakan. Mungkin untuk mengelakkan merebaknya penyakit selsema burung di UK.

DUBLIN,IRELAND (MEI 2007)

Datang ke Dublin adalah atas urusan kerja. Nazri Architect telah dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) untuk membaik pulih dan menaik taraf bangunan Malaysian Hall atau Malaysia Student Department(MSD) Dublin. Semasa menjalankan tugasan di sana, saya sempat melawat tempat-tempat menarik di Dublin. Antara lokasi yang saya teruja adalah Dublin Mosque di mana masjid ini pada asalnya adalah bangunan sebuah gereja yang telah di ubahsuai menjadi bangunan masjid. Projek naik taraf MSD ini akan mengambil masa selama 2-3 tahun. InsyaAllah dapat lah saya berkunjung lagi ke sini sehingga projek ini siap sepenuhnya.

ABU DHABI (MEI 2007)

Transit sebentar di Airport Abu Dhabi UAE sebelum pulang menaiki pesawat syarikat penerbangan Ijtihad ke KL dari Dublin Ireland.

BAHRAIN (MEI 2007)

Sebenarnya dapat melawat Bahrain selama 1 hari 1 malam hanyalah secara kebetulan. Pesawat Gulf Air dari Dublin Ireland telah terlewat dari jadual asal menyebabkan penerbangan asal dari Bahrain ke KL telah terlepas. Untuk menunggu pesawat seterusnya penumpang di sediakan hotel untuk bermalam. Peluang itu di ambil untuk melawat dan shoping di Bahrain. Semasa berligar-ligar di bandar, terlihat sebuah bangunan yang rekabentuknya menyerupai logo firma Nazri Architect dan saya abadikan kenangan itu di dalam gambar ini.(Macam huruf N terbalik).

BRUNEI (JULAI 2005)


Berkunjung ke Brunei merupakan secara kebetulan sahaja selepas melaksanakan tugas rasmi di Labuan. Dengan menaiki bot selama satu jam dari Labuan kita boleh sampai ke Brunei dengan syarat membawa pasport. Antara sahabat yang menemani adalah Kudin dan Shafaizi. Dua malam kami di Brunei sebelum pulang ke KL juga melalui Labuan. Dapatlah menghayati suasana di Kampong Air di antara tempat "must visit" di Brunei.

SINGAPURA ( FEBRUARI 2005)


Antara tempat menarik yang di lawati di Singapura adalah Zoo Singapura dan Pulau Sentosa.

MEKAH, ARAB SAUDI (SEPT 2004)


Bergambar di ladang penternakan unta di Hudaibiah bersama isteri selepas pulang dari ziarah ke Cairo. Ini ialah umrah kali kedua selepas umrah kali pertama bersendiri pada sept 2002. Alhamdulillah Ibadah HAJI juga telah dapat di laksanakan pada Januari 2006 bersama isteri. Moga dimurahkan rezeki dan diizinkan Allah, tahun-tahun mendatang ingin berkunjung ke Baitullah lagi. InsyaAllah.

KAHERAH, MESIR (OGOS 2004)


"Rasa macam mimpi" itulah ungkapan isteri, pertama kali dapat menatap binaan piramid dengan mata kepala sendiri. Memang diri sendiri pun tak terduga satu hari nanti kita akan dapat sampai ke sana. Binaan 4,000 tahun dahulu yang di bina oleh Firaun itu memang hebat. Namun ianya tak ke mana jika seruan ke jalan Allah di LANGGARI

MEDAN,INDONESIA (JUN 2004)


Bergambar bersama keluarga berlatar belakangkan Tasik TOBA di Medan. Yang paling kanan di dalam gambar adalah Musripah, pembantu rumah Indonesia, berasal dari Semarang Jawa Tengah. Ini adalah kali kedua ke Medan. Kali pertama ke Medan pada tahun1990. Pada masa tu solo, belum berkahwin lagi. Dapat lah di kenalpasti sedikit sebanyak perubahan yang berlaku dalam tempoh 14 tahun itu.

BANGKOK,THAILAND (DISEMBER 2003)


Seminggu sebelum Haziq dan Qayyiem bersunat, kami sekeluarga telah berkunjung ke Bangkok dengan di temani oleh ACU AEE (kiri sekali). Kami sempat melawat Grand Palace, Safari World, Night Market dan yang teristemewa menyusuri Sungai Chao Praya yang satu masa dulu terkenal dengan "floating market" atau Venice Timur itu.

INSTANBUL,TURKI (SEPT 2002)


Inilah kali pertama menjejak kaki ke Eropah. Kebetulan Istanbul adalah bandar yang terletak di dalam dua benua iaitu Asia dan Eropah. Sebenarnya tujuan utama adalah untuk menunaikan umrah selepas menziarahi salah satu kota yang mahsyur dengan tamadun Islam ini.

BALI,INDONESIA (JUN 2002)


Inilah kali pertama firma Nazri Architect mengadakan lawatan (COMPANY TRIP). Lokasi yang terpilih adalah Bali Indonesia. Lihat lah kuil hindu di Bali (gambar) amat berbeda dengan kuil hindu di Malaysia. Walaupun 90% penduduk Bali adalah berugama hindu, namun makanan halal masih senang di perolehi. Kami bernasib baik, kerana selang satu bulan selepas lawatan ini, Bali digemparkan dengan serangan bom yang mengorbankan lebih 200 orang yang kebanyakannya warga Australia.