Thursday, December 24, 2009

JAKARTA PUNCAK BANDUNG (Disember 2009)

MELANCONG DATANG LAGI....Kali ini saya dan staf syarikat ke Jakarta , Puncak dan Bandung sempena TRIP 2009 SYARIKAT yang insyaAllAH setakat ini diadakan pada setiap tahun. 2002 kami ke Bali, 2003 ke Kuching, 2004 ke Medan, 2005 ke Langkawi, 2006 ke Melaka, 2007 ke Bukit Merah, 2008 ke Beijing dan tahun ini sekali lagi ke Indonesia. Dan kebetulan TAHUN MELAWAT INDONESIA 2009.

Seramai 37 orang anggota yang turut serta termasuk kanak-kanak dan bayi dari 18-22hb Disember 2009. Selain staf dan anggota keluarga, turut serta adalah Aiyie dan keluarga, Ar. Abdullah dan keluarga serta Datin Nik Asmah. Pengembaraan 5 hari 4 malam. Menginap 1 malam di Bandung, 1 malam di Puncak dan 2 malam di Jakarta.
Kalau di Bandung agenda utama tentulah Shopping. Saya dan lain-lain sempat ke Pasar Baru (walaupun bangunannya dah buruk), Factory-factory Outlet yang banyak tu, dan Rumah-rumah Mode di sekitar Bandung. Kami juga di bawa melawat ke Tangkuban Perahu iaitu Gunung Berapi yang pernah meletup pada tahun 1959 dan ianya masih hidup dan boleh meletup lagi pada masa akan datang. Kawah Rotu adalah antara 3 kawah terbesar dan asapnya masih keluar dari dasar kawah dan mengeluarkan bau belerang yang kuat.

Di Puncak pula kami melawat Masjid Besar di tengah-tengah kebun teh dan serba unik. Antara yang teristimewa untuk kanak-kanak, adalah melawat SAFARI WORLD di Puncak dan bagi saya ini adalah Safari World terbesar yang pernah saya lawati selain di Melaka dan di Bangkok.

Di Jakarta kami sempat melawat Taman Mini Indonesia yang menempatkan 32 buah rumah tradisional kaum yang terdapat di Indonesia, Menara Monumen Nasional (MONAS), Masjid Istiqlal, Taman Ancol dan tentunya shopping di Tanah Abang, Cempaka Mas, Mangga 2 dan lain-lain.
Makanan halal tiada masalah, boleh didapati dengan mudah baik di Bandung atau di Jakarta. Hanya perlu lebeh berhati-hati kerana ramai kenalan yang bilang sakit perut makan di sana. Alhamdulillah rombongan kami semuanya OK. Ada juga yang berpendapat, sedutan bau belerang yang kuat semasa di gunung berapi adalah faktor sakit perut. Mungkin betul. Ada baiknya kita memakai penutup hidung dan mulut semasa ke tempat-tempat itu.

Kami di sajikan dengan makanan nasi padang dan ala-ala tom yam sepanjang tempoh 5 hari itu. Antara yang menarik adalah makan malam di RESTORAN KAMPUNG DAUN di Bandung (gambar atas kanan). Kawasan sekelilingnya paling unik. Setahu saya belum pernah ada keadaan sebegitu di Malaysia. Kawasannya luas dan di susuri dengan air terjun semulajadi yang mengalir di sepanjang kawasan serta melewati pondok-pondok kecil dan wakaf-wakaf tempat menjamu selera. Rasanya kumpulan kami disediakan tempat paling menarik di mana platfom yang kami duduk makan, air terjun semulajadi itu mengalir di tepi dan dibawah. Alunan bunyi air lebih memukau disamping hidangan yang sungguh lazat. Tak dapat nak di ceritakan nikmatnya kecuali anda sendirilah yang menghayatinya jika ke Bandung.
Bandung dan Jakarta juga dalah KOTA UNIK. Di setiap simpang lampu isyarat ada saja PENUNGGUnya. Samada para penjual makanan dan minuman, peminta sedekah, atau seniman jalanan yang akan mendendangkan lagu seketika dan minta di upah dengan UWANG.

Paling terharu adalah selepas makan malam di Bandung sebelum memulakan perjalanan ke Puncak. "BIS" (sebutan bahasa Indonesia untuk BAS) kami di datangi oleh 2 orang anak kecil MALANG, seorang lelaki dan seorang perempuan, sambil menggalas sebuah gitar kecil. Rasanya 2 adik beradik. Si kakak sama baya dengan anak kecil saya, DARWEESH sekitar 7 tahun manakala adiknya lelaki, umurnya kurang daripada itu. Mereka mendendangkan lagu sayu dan syahdu. Tercuit sungguh hati kecil ini. Apakah kalau Darweesh sama senasib MALANG begitu, mampukah beliau melalui semua ini... sudah mula mencari rezeki sendiri. Mungkin sudah di takdirkan MALANG buat kedua-duanya. Harapan saya moga mereka cekal dan berjaya di suatu hari nanti.
Sebut pasal MALANG, ianya juga tak lari dari diri saya sekeluarga sepanjang lawatan 5 hari 4 malam itu. Kisah pertama, selepas kami makan malam di Restoran Kampung Daun yang indah itu. Kami menuju ke BIS untuk pulang ke hotel. Terkejut kami melihat BIS kami senget sebelah kerana tayarnya mendap dek tanah kawasan tersebut mungkin lembut (gambar atas-2 gambar bahagian atas). Operasi untuk menaikkan semula BIS tersebut memakan masa hampir 2 jam. Dalam keadaan penat terpaksalah juga kami sabar menunggu. Kasihan pada rakan-rakan yang membawa anak kecil. Kesabaran mereka pasti lebih lagi.

Kisah kedua, adalah setelah selamat mendarat di KLIA, kami pun mengambil teksi untuk pulang. Oleh kerana ramai (termasuk keluarga Aiye, kami semua 9 orang), kami pun mengambil sebuah van Airport. Selepas 15 minit perjalanan, tayar belakang van tersebut meletup (gambar atas- 2 gambar bahagian bawah). Nasib baik van bergerak perlahan waktu itu. Kami terpaksa menunggu 30 minit sebelum van pengganti tiba. Bagaimanapun kami selamat tiba di rumah lewat jam 2 pagi pada 23hb Disember 2009.

Pada 24hb Disember, kita juga dikejutkan dengan berita MALANG bangunan runtuh di lokasi membeli-belah yang mahsyur di Jakarta di TANAH ABANG. Kejadian malang itu hanya berlaku kurang daripada 48 jam selepas kami mengunjungi tempat tersebut pada 22hb Disember 2009. Apa-apa pun syukur ia tidak berlaku ketika kami berada di sana.

Secara umumnya saya dan yang lain-lain gembira untuk TRIP SYARIKAT kali ini. Cuma saya agak terkilan kerana hasrat saya untuk mencari 2 PERKARA di bandung tidak di perolehi. Puas saya bertanya dan mencari 2 PERKARA itu kalau-kalau ada warga Bandung yang dapat membantu dan mendapatkannya. Masuk hari terakhir pun saya masih gagal memperolehinya. Tapi tak apa lah mungkin kalau ke Bandung lagi saya akan cuba sekali lagi mencarinya. 2 PERKARA yang saya maksudkan tak lain dan tak bukan adalah air bandung dan mee bandung....hehehe. Jumpa lagi tahun depan 2010...entah ke mana pula haluannya. Sama-sama lah kita nantikannya.