Sunday, June 21, 2009

BEIJING (JUN 2009)

Saya sepatutnya telah sampai di Beijing pada Mac 2008. Namun atas sesuatu sebab yang tak dapat di elakkan, perkara tersebut tidak menjadi. Itulah yang selalu saya perkatakan "KITA HANYA MERANCANG". Bagaimanapun Alhamdulillah hajat tersebut tercapai jua pada 7-12hb Jun 2009 yang lalu.
Sudah semestinyalah destinasi terpenting jika ke Beijing adalah TEMBOK BESAR. Panjang keseluruhannya adalah 6,000km panjang. Mula dibina semasa pemerintahan Maharaja Shih Huang Ti. Saya masih ingat nama mahsyur tersebut ketika belajar sejarah semasa di sekolah menengah dan ianya dikuatkan lagi ingatan tu apabila pemandu pelancong Philip berulang-ulang kali menyebut nama itu.
Saya dan keluarga agak bernasib baik kerana cuaca pada masa itu cerah dan terang, kerana gambar-gambar yang saya lihat dari kawan-kawan, langit Beijing biasanya berjerubu. Mungkin disebabkan sehari sebelum saya datang ke tembok besar, hujan telah turun dengan lebatnya seharian, yang mungkin telah menghilangkan jerubu di Beijing.
Saya juga sempat dan berpeluang bersembahyang zohor di Masjid Niu Jie iaitu sebuah masjid lama yang telah berusia lebih 1,000 tahun. Senibinanya merupakan senibina cina. Dan kalau bangunan ini ditempatkan di Malaysia sudah pastilah ianya merupakan sebuah Tokong Cina. Dan begitulah indahnya Islam ini, Adat dan Budaya bukanlah merupakan penghalang bagi penganutnya untuk beribadah. Saya juga pernah memaparkan kisah gereja yang dijadikan masjid di Dublin, Ireland.
Berbeza dengan Masjid lama Niu Jie, Masjid Baru di Tianjin berkonsepkan rekabentuk senibina moden. Macam kebanyakan masjid di Malaysia malahan di seluruh dunia. Yang istemewanya sudah banyak perkataan-perkataan bahasa melayu di masjid-masjid di Beijing seperti perkataan "BILIK WUDUK, TABUNG SUMBANGAN" dan lain-lain. Mungkin kerana semakin ramai pelancong dari Malaysia sering datang ke China terutama Beijing. Mana tidaknya kalau semasa makan di restoran-restoran halal di Beijing samada makan tengahari atau makan malam, pasti kita akan berjumpa dengan orang-orang Melayu Malaysia yang makan di restoran yang sama. Faktor lain mungkin juga disebabkan semasa lawatan saya dan keluarga adalah semasa musim cuti sekolah. Sebut sajalah tempat-tempat di sekitar Beijing, Tembok Besar, Summer Palace, Medan Tiananmen, Forbiden City, pasti kita akan berjumpa dengan orang Melayu Malaysia.
Saya agak kurang bernasib baik semasa melawat Medan Tiananmen dan Forbiden City kerana hujan turun seharian dengan lebatnya. Medan Tiananmen adalah merupakan dataran di dalam bandar yang paling besar di dunia. Namun seperti yang saya nyatakan tadi, hujan pun ada rahmatnya, kerana keesokannya pemandangan di Beijing amat cerah sekali, menghapuskan jerebu yang biasanya adalah merupakan keadaan biasa di Beijing.
Summer Palace atau Istana Musim Panas adalah merupakan tempat istirehat Maharaja dahulu kala di musim panas. Tasik Buatannya merangkumi lebih 3 suku kawasan Istana yang berkeluasan lebih 200 hektar itu. Semasa musim panas air tasik dan angin dapat menyejukkan kawasan sekitar istana. Manakala pada musim sejuk air tasik ini akan menjadi beku dan kita boleh berjalan kaki di atasnya. "Oh! kena datang lagilah ni, musim sejuk pulak, nak tengok tasik beku dan nak berjalan kaki di atasnya." kata isteri kepada saya. Saya buat-buat macam tak dengar dan hanya tersenyum tapi kelihatan sedikit tawar.
Sarang Burung juga merupakan antara tempat tumpuan pelancong. Stadium yang boleh menampong 80,000 orang ini agak unik dan merupakan antara simbol kemegahan rakyat China semasa Sukan Olimpik 2008. Di Stadium ini dijalankan acara-acara sukan utama seperti bola sepak, olahraga dan majlis perasmian serta upacara penutup.
Sebuah lagi stadium sukan yang agak aneh dipanggil "WATER CUBE". Kedudukkannya bersebelahan dengan Stadium Sarang Burung dan digunakan untuk acara yang bersesuaian dengan namanya iaitu acara renang dan sukan air. Saya memang tersangat ingin melihat stadium ini dengan mata kepala sendiri kerana 3-4 tahun yang lalu saya telah menghadiri satu seminar yang di sampaikan sendiri oleh Sang Arkiteknya seorang rakyat Cina. Konsepnya memang tepat. Lihatlah rekabentuk dindingnya yang menyerupai buih-buih dan berbentuk empat segi.
Saya dan dua anak lelaki saya, Haziq dan Qayyiem telah datang semula pada sebelah malamnya untuk melihat kehebatan stadium-stadium ini pada waktu malam. Wow! pasti ianya lebih menarik, warna biru yang menggambarkan warna air. Agak malang saya hanya dapat merakamkan keindahannya dalam masa 20 minit sahaja, sebelum lampunya dipadamkan pada jam 10 malam. Tak dapat saya nak "explore" lebih lagi.
Ini adalah merupakan hotel termahal di Beijing pada masa ini. Terletak berdekatan dengan Stadium Bird Nest dan Water Cube, hanya 5-7 minit berjalan kaki. Bill Gate dan "RICH AND FAMOUS" yang lain menginap di hotel ini semasa berlangsung nya Sukan Olimpik Beijing 2008.
Banyak tafsiran yang di buat mengenai bangunan hotel ini, ada yang kata macam kepala ular, ada kata kepala keris, ada kata macam muncung burung kerana berdekatan Stadium Sarang Burung dan entah macam-macam lagi tafsiran. Terpulanglah pada masing-masing mentafsirkannya.
Satu lagi impian saya juga telah tercapai semasa melancong ke Beijing tempoh hari. Iaitu untuk merasai menaiki keretapi laju BULLET TRAIN. Saya berkesempatan menaiki keretapi ini dari Tianjin ke Beijing sejauh 150km dalam tempoh 1/2 jam sahaja. Kelajuan tertinggi yang di capai pada masa itu adalah 326km sejam. Walaupun saya tahu keretapi terlaju masa kini telah mencapai lebih 500km sejam, namun pengalaman menaiki keretapi di Beijing sudah memadai dan sungguh teruja.
Saya dan keluarga selamat mendarat di KLIA pada 12hb Jun 2009 jam 10.40 malam. Alhamdulillah saya bersyukur semuanya selamat dan sihat, terutama semasa saya di Beijing itu, wabak H1N1 sedang menular dengan pantas dan amat mengerikan. Semasa kami sampai di Beijing pun kami di arahkan memakai topeng muka dan setelah pulang ada anggota rombongan kami yang diberi rawatan rapi kerana demam. Namun tak ada kes jangkitan H1N1 yang di kesan.
Akhir kata, apakah ungkapan isteri"Oh! kena datang lagilah ni, musim sejuk pulak, nak tengok tasik beku dan nak berjalan kaki di atasnya." benar-benar menjadi kenyataan atau hanya tinggal sebutan. Sama-samalah kita tengok nanti, manalah tahu kalau-kalau ada rezeki lebeh kami akan datang semula ke Beijing nanti.