Wednesday, May 20, 2009

SELAMAT HARI BAPA???????(MEI 2009)

Kalau 10 Mei setiap tahun, adalah hari kita meraikan HARI IBU, maka tanggal 20 Mei pula adalah hari kita meraikan HARI BAPA. Eh! betul kah begitu? Oh tidak. Bukan. Tapi bagi diri saya tanggal 20 Mei adalah hari yang cukup bermakna. Ianya berkaitan dengan bapa saya. Tahun ini tanggal 20 Mei 2009 adalah hari genapnya 2 tahun AYAHANDA saya pergi buat selama-lamanya (20 Mei 2007).
Inilah pusara Ayahanda yang terletak di tanah perkuburan Batu 11, Cheras Kuala Lumpur. Jika ada kelapangan, InsyaAllah saya akan berkunjung ke sana. Biasanya jika saya mempunyai urusan di Putrajaya atau di Kajang, pasti saya akan singgah ke sana untuk melepaskan rindu.
Tiada binaan untuk pusara Ayahanda, hanya tumbuhan rumput karpet dan beberapa batang pokok rendah menghiasi pusaranya.
Saya pernah terbaca pendapat yang menyatakan bahawa, adalah di larang untuk membina binaan di atas kubur. Ada juga pendapat yang membenarkan binaan, tetapi tidak boleh terlalu besar. Kalau kita menziarahi ke Tanah Perkuburan BAQI' di Madinah, kita akan dapati kubur-kubur para sahabat yang berjumlah 10,000 orang itu hanya di tanda dengan 2 ketul batu sahaja, 1 di bahagian kepala dan 1 lagi di bahagian kaki. Saya juga pernah membaca sebuah hadis Nabi mengenai Nabi pernah memacakkan 2 pelepah kurma pada 2 buah kubur yang penghuninya sedang disiksa. Dan sabda Nabi, pelepah-pelepah tersebut akan berzikir sehingga ianya kering. Ada yang berpendapat bahawa ada baiknya menanam pokok di atas kubur, agar daun-daun pokok tersebut berzikir dan mendoakan si mati. Ada juga yang berpendapat kisah tadi hanya untuk Nabi sahaja kerana Nabi mempunyai Mukjizat dan perkara ini tidak untuk kita. Melalui pendapat-pendapat ini terserahlah kepada pembaca-pembaca sekelian untuk menkaji dan mendapatkan pandangan ustaz-ustaz serta cerdik pandai dalam bidang agama. Bagi saya, saya juga masih mencari kesahihan perkara-perkara ini. Akhir sekali, saya mendoakan agar Ayahanda saya hidup bahagia di Alam Barzakh dan di golongkan bersama golongan orang-orang yang soleh. Amin. Al-Fatihah.


No comments: