
Seramai 37 orang anggota yang turut serta termasuk kanak-kanak dan bayi dari 18-22hb Disember 2009. Selain staf dan anggota keluarga, turut serta adalah Aiyie dan keluarga, Ar. Abdullah dan keluarga serta Datin Nik Asmah. Pengembaraan 5 hari 4 malam. Menginap 1 malam di Bandung, 1 malam di Puncak dan 2 malam di Jakarta.

Di Puncak pula kami melawat Masjid Besar di tengah-tengah kebun teh dan serba unik. Antara yang teristimewa untuk kanak-kanak, adalah melawat SAFARI WORLD di Puncak dan bagi saya ini adalah Safari World terbesar yang pernah saya lawati selain di Melaka dan di Bangkok.
Di Jakarta kami sempat melawat Taman Mini Indonesia yang menempatkan 32 buah rumah tradisional kaum yang terdapat di Indonesia, Menara Monumen Nasional (MONAS), Masjid Istiqlal, Taman Ancol dan tentunya shopping di Tanah Abang, Cempaka Mas, Mangga 2 dan lain-lain.

Kami di sajikan dengan makanan nasi padang dan ala-ala tom yam sepanjang tempoh 5 hari itu. Antara yang menarik adalah makan malam di RESTORAN KAMPUNG DAUN di Bandung (gambar atas kanan). Kawasan sekelilingnya paling unik. Setahu saya belum pernah ada keadaan sebegitu di Malaysia. Kawasannya luas dan di susuri dengan air terjun semulajadi yang mengalir di sepanjang kawasan serta melewati pondok-pondok kecil dan wakaf-wakaf tempat menjamu selera. Rasanya kumpulan kami disediakan tempat paling menarik di mana platfom yang kami duduk makan, air terjun semulajadi itu mengalir di tepi dan dibawah. Alunan bunyi air lebih memukau disamping hidangan yang sungguh lazat. Tak dapat nak di ceritakan nikmatnya kecuali anda sendirilah yang menghayatinya jika ke Bandung.

Paling terharu adalah selepas makan malam di Bandung sebelum memulakan perjalanan ke Puncak. "BIS" (sebutan bahasa Indonesia untuk BAS) kami di datangi oleh 2 orang anak kecil MALANG, seorang lelaki dan seorang perempuan, sambil menggalas sebuah gitar kecil. Rasanya 2 adik beradik. Si kakak sama baya dengan anak kecil saya, DARWEESH sekitar 7 tahun manakala adiknya lelaki, umurnya kurang daripada itu. Mereka mendendangkan lagu sayu dan syahdu. Tercuit sungguh hati kecil ini. Apakah kalau Darweesh sama senasib MALANG begitu, mampukah beliau melalui semua ini... sudah mula mencari rezeki sendiri. Mungkin sudah di takdirkan MALANG buat kedua-duanya. Harapan saya moga mereka cekal dan berjaya di suatu hari nanti.

Kisah kedua, adalah setelah selamat mendarat di KLIA, kami pun mengambil teksi untuk pulang. Oleh kerana ramai (termasuk keluarga Aiye, kami semua 9 orang), kami pun mengambil sebuah van Airport. Selepas 15 minit perjalanan, tayar belakang van tersebut meletup (gambar atas- 2 gambar bahagian bawah). Nasib baik van bergerak perlahan waktu itu. Kami terpaksa menunggu 30 minit sebelum van pengganti tiba. Bagaimanapun kami selamat tiba di rumah lewat jam 2 pagi pada 23hb Disember 2009.
Pada 24hb Disember, kita juga dikejutkan dengan berita MALANG bangunan runtuh di lokasi membeli-belah yang mahsyur di Jakarta di TANAH ABANG. Kejadian malang itu hanya berlaku kurang daripada 48 jam selepas kami mengunjungi tempat tersebut pada 22hb Disember 2009. Apa-apa pun syukur ia tidak berlaku ketika kami berada di sana.
Secara umumnya saya dan yang lain-lain gembira untuk TRIP SYARIKAT kali ini. Cuma saya agak terkilan kerana hasrat saya untuk mencari 2 PERKARA di bandung tidak di perolehi. Puas saya bertanya dan mencari 2 PERKARA itu kalau-kalau ada warga Bandung yang dapat membantu dan mendapatkannya. Masuk hari terakhir pun saya masih gagal memperolehinya. Tapi tak apa lah mungkin kalau ke Bandung lagi saya akan cuba sekali lagi mencarinya. 2 PERKARA yang saya maksudkan tak lain dan tak bukan adalah air bandung dan mee bandung....hehehe. Jumpa lagi tahun depan 2010...entah ke mana pula haluannya. Sama-sama lah kita nantikannya.